Saya ingin mengulas tentang hak wanita selepas bercerai. Sebelum itu mari kita lihat dulu artikel ini:
Bekas Suami Halau Saya Berjumpa Anak-Anak
SEORANG ibu sanggup melakukan apa sahaja untuk anak-anaknya hatta bergadai nyawa sekalipun. Begitu hebat cinta kasih mereka kepada zuriat yang dilahirkan.
Perceraian kadang kala meletakkan ibu dalam keadaan serba salah terutama apabila terpaksa berebut dengan bekas suami untuk menjaga zuriat yang diamanahkan Allah.
Keadaan akan menjadi lebih parah apabila bekas suami tidak mahu mengalah dan melanggar perintah mahkamah membenarkan anak-anak di bawah jagaan ibu sehingga mereka akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan haknya menjaga anak-anak.
Inilah kisah yang mahu saya kongsikan dengan pembaca minggu ini. Kisah pengorbanan seorang ibu untuk mendapatkan anak-anaknya semula. Ingin tahu kisah selanjutnya, kita ikuti cerita Ika seperti yang diceritakan kepada saya.
“Saya berusia lewat 30-an, pernah berkahwin dan mempunyai dua orang anak perempuan hasil perkahwinan dengan seorang lelaki yang saya kenali sejak zaman sekolah.
“Saya ingat perkahwinan yang berasaskan cinta bertahun-tahun ini akan membawa bahagia untuk saya hingga ke akhir hayat, rupanya patah di tengah jalan.
“Kehadiran orang ketiga menghancurkan rumah tangga saya yang dibina selama 11 tahun. Begitu mudah bekas suami melupakan segala pengorbanan saya dalam rumah tangga kami.
“Semuanya bermula dengan kehadiran wanita itu yang menggodanya sehingga dia lupa kepada saya dan anak-anak. Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai rumah tangga yang hancur itu kerana saya telah reda dan menerima ketentuan Allah terhadap saya.
“Apa yang ingin saya kongsi adalah masalah yang timbul setelah kami berpisah. Suami seorang yang tidak bertanggungjawab. Ini yang saya kesalkan.
“Dia tidak ada kerja tetap dan hanya melakukan kerja-kerja sampingan menjual insurans dan membantu kawannya berniaga, sementara saya bekerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang agak lumayan.
“Saya tidak kisah akan keadaan itu kerana saya masih mampu menyara kami sekeluarga, mungkin sudah jodoh saya telah ditentukan oleh Allah SWT.
“Sepanjang berkongsi hidup dengannya, saya menghadapi pelbagai ujian dan dalam serba kekurangan. Kehadiran dua anak perempuan berusia 10 dan 8 tahun membahagiakan saya.
“Hasil berjimat cermat dan mengumpul wang, saya berjaya membeli sebuah rumah dan sebuah kereta untuk kemudahan kami anak beranak. Kereta atas nama saya sementara rumah atas nama saya dan bekas suami.
“Saya yang membayar ansuran bulan kereta dan rumah kerana suami tidak ada pendapatan tetapi saya tidak kisah. Sebab nak jaga keharmonian rumah tangga, saya pejam mata dengan semua masalah yang datang.
“Apabila berpisah, suami mengungkit dan menuntut harta sepencarian dengan alasan dia berhak dan perlu dapat habuannya. Bayangkan satu sen, dia tidak keluarkan duit tetapi dia menuntut haknya.
“Tidak cukup dengan itu, dia memfailkan tuntutan hak penjagaan ke atas anak-anak dengan alasan saya tidak layak menjaga mereka kerana perangai saya yang tidak elok. Siap tunjuk bukti saya berada di beberapa majlis bersama lelaki. Pada hal, semua mereka kawan-kawan pejabat saya.
“Disebabkan gambar-gambar itu, saya terlepas hak penjagaan anak-anak kerana dia ada bukti sah menunjukkan saya tak layak menjaga anak-anak. Hampir setahun saya terpisah dengan anak-anak saya.
“Saya berjuang habis-habisan menuntut hak saya. Apabila dia berkahwin lain, anak-anak makin tidak selesa tinggal bersamanya. Mereka selalu menangis apabila saya menelefon mereka bertanya khabar.
“Hak saya untuk berjumpa anak-anak dan membawa mereka keluar juga dinafikan. Susah bagi saya untuk berjumpa mereka kerana bekas suami dan isteri barunya menghalang. Isteri barunya juga selalu ganggu saya dengan panggilan telefon dan memaki hamun saya.
“Pernah saya dihalau apabila ke rumah mereka untuk mengambil anak-anak kerana bekas suami tidak benarkan, pada hal saya ada membawa surat perintah mahkamah. Siap menjerit-jerit kepada saya sedangkan anak-anak meronta-ronta di pintu pagar rumah nak ikut saya.
“Akhirnya saya terpaksa mendapatkan perlindungan polis setiap kali nak jumpa anak kerana bimbang diapa-apakan oleh bekas suami dan isterinya.
“Berpuluh kali saya naik turun mahkamah dan pejabat peguam untuk mendapatkan hak saya. Beribu-ribu duit saya habis kerana urusan ini dan akhirnya saya menang apabila kawan-kawan yang memahami masalah saya bersetuju membantu dan menjadi saksi untuk saya.
“Akhirnya perjuangan saya sampai ke penghujung apabila saya diberikan hak penjagaan sepenuhnya ke atas anak-anak apabila anak-anak sendiri dengan rela hati meminta untuk tinggal dengan saya.
“Hanya syukur saya panjatkan kepada Allah di atas kejayaan ini. Saya tidak kisah tidak dapat harta dan wang ringgit, yang penting anak-anak ada dengan saya. Saya tidak akan membuka aib bekas suami kerana buruk macam mana pun dia tetap bapa kepada anak-anak saya.
“Kini, saya sedang menunggu kes rumah yang masih berjalan. Setakat ini, 60 peratus sudah selesai. Saya hanya perlu berjuang untuk 40 peratus sahaja lagi, insya-Allah saya yakin saya boleh menang kerana saya yang buat pinjaman perumahan 100 peratus, satu sen pun saya tidak minta daripada dia.
“Saya sangat berharap yang saya akan menang kerana saya dan anak-anak perlukan rumah untuk berlindung. Bekas suami tidak bagi nafkah langsung untuk anak-anak. Tapi saya tidak kisah. Saya masih boleh tanggung anak-anak saya.
“Sekarang saya sangat gembira kerana anak-anak bersama saya. Mereka penawar hidup saya. Saya akan menjaga mereka walau apa terjadi. Saya akan berikan didikan agama dan akademik untuk mereka supaya mereka menjadi manusia yang berguna kelak.
“Pada masa yang sama, saya tidak menghalang mereka berjumpa bapa mereka seperti perintah mahkamah tetapi sehingga kini sudah masuk enam bulan, dia sekalipun tidak pernah meminta untuk mengambil anak-anaknya.
“Saya sangat berharap Allah memberi kekuatan kepada saya untuk menjaga anak-anak dan membesarkan mereka supaya berjaya di dunia dan akhirat.
“Kepada isteri-isteri di luar sana yang telah diceraikan, saya berharap mereka akan tabah dan kuat semangat untuk menuntut hak mereka. Jangan takut untuk berjuang mendapatkan hak anda.
“Memang meletihkan tetapi jika kita sabar dan selalu berdoa, insya-Allah akan dimakbulkan Allah. Jangan biar bekas suami buat sewenang-wenangnya selepas kita diceraikan. Anak-anak yang akan menjadi mangsa terutama apabila mereka bernikah lain.
“Saya tidak kata semua lelaki begitu tetapi saya minta berhati-hati. Beringat sebelum terjadi kerana dalam apa juga keadaan, dahulukan masa depan anak-anak selepas bercerai. Itu yang utama. Semoga Allah melindungi dan berkati hidup saya dan anak-anak di dunia dan akhirat,” Ika menamatkan ceritanya.
sumber : http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/bekas-suami-halau-saya-jumpa-anak-anak-1.97203
Alangkah sedihnya mengenang nasib yang pernah dilalui oleh Ika. Sepertimana yang telah diberitahu, artikel ini telah saya petik dari surat khabar utusan melalui link yang telah diberikan. Melalui artikel ini, artikel ini sangat rapat dengan hak wanita selepas bercerai. Pasti ramai masih samar-samar dengan perkara-perkara mengenai hak wanita selepas bercerai. Perbuatan bekas suami Ika ini adalah sangat tidak patut dan melanggar hak Ika sebagai hak wanita selepas bercerai. Hal ini kerana, bekas suami menghalang Ika daripada berjumpa anak-anak mereka walaupun sudah mendapat persetujuan dari mahkamah.
Seperti yang kita ketahui, setelah bercerai hak penjagaan anak-anak memang akan diberikan kepada ibu dengan syarat si ibu ini memenuhi kriteri-kriteria yang ditetapkan. Hal ini juga merupakan hak wanita selepas bercerai. Si bekas suami ini telah menggunakan kawan-kawan bekas isterinya untuk mendapat hak jagaan. Di sini telah berlaku perselafahaman sehingga status hak penjagaan itu telah berubah tangan.
Disini saya mengongsikan beberapa hak-hak wanita selepas bercerai :
a) Mahar Yang Belum Dijelaskan
Berdasarkan hukum syarak sebarang mas kahwin yang diberikan kepada seorang isteri semasa berkahwin adalah menjadi hak isteri dan tidak boleh diambil balik oleh suami kecuali dengan izinnya, kecuali apabila berlakunya perceraian sebelum berlakunya persetubuhan. hak untuk mendapatkan mas kawin atau mahar ini merupakan hak isteri yang wajib ditunaikan oleh suami. Hak ini juga tidak akan terjejas walaupun berlakunya perceraian. Oleh itu, sekiranya jumlah penuh mas kawin atau sebahagian darinya belum dijelaskan lagi oleh suami, isteri berhak untuk menuntutnya selepas terjadinya perceraian. Berhubung dengan hak ini, Seksyen 59, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008 memperuntukkan bahawa, tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Enakmen ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seorang isteri di bawah Hukum Syarak terhadap mas kawinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila pernikahannya dibubarkan. Ini jelas menunjukkan bahawa, hak-hak isteri yang diceraikan masih lagi boleh dituntut walaupun perceraian telah berlaku, dan suami wajib membayar mahar yang belum dijelaskannya terhadap isterinya.
b)Nafkah ‘Iddah
‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud pengiraan yang diambil daripada perkataan (adad) yang memberi makna bilangan kerana ia mengandungi tempoh suci ataupun bilangan bulan. Dari sudut istilah Fuqaha pula ialah satu masa yang ditentukan untuk menamatkan apa-apa kesan daripada perkahwinan. Apabila berlaku perpisahan di antara seorang lelaki dengan isterinya maka hubungan perkahwinan antara isteri dengan suaminya tidak akan terputus kesemuanya hanya dengan berlakunya perpisahan, bahkan isterinya wajib menahan dirinya dan tidak mengahwini orang lain sehinggalah tamat tempoh yang telah ditetapkan oleh syarak tadi.
c)Tunggakan nafkah
Dari segi bahasa nafkah bermaksud mengeluarkan dan membelanjakan.Nafkah menurut pandangan syarak ialah mengeluarkan perbelanjaan atau nafkah kepada mereka yang wajib atas seseorang itu menafkahkannya atau mengeluarkan belanjanya, tetapi yang dimaksudkan dengan belanja disini ialah semua hajat dan keperluan yang berlaku mengikut keadaan dan tempat seperti makanan, pakaian, tempat tidur dan sebagainya.
Nafkah wajib dibayar kepada isteri apabila berlakunya perkahwinan selama mana isteri masih taat kepada suami. Nafkah tersebut termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pekakas rumah dan lain-lain lagi menurut keadaan dan adat ditempat masing-masing berdasarkan juga kemampuan suami untuk menyediakan keperluan tersebut.
e)Harta sepencarian
Harta sepencarian boleh ditakrifkan sebagai harta sama ada harta alih atau tidak alih yang diperolehi bersama oleh pasangan suami isteri semasa kewujudan perkahwinan mereka hasil dari sumber-sumber atau usaha mereka. Harta ini dikenali sebagai harta sepencarian dan menurut Adat Temenggong atau harta carian laki-bini menurut istilah Adat Pepatih. Di sini jelas menunjukkan, bahawa harta sepencarian merupakan “harta yang diperolehi bersama oleh pasangan suami isteri dari hasil usaha mereka bersama, sama ada mereka berusaha dalam satu bidang kerja seperti sama-sama bekerja membuat bendang, sama-sama bertani, berniaga atau berlainan bidang kerja umpama suami bekerja makan gaji dan isteri pula berniaga atau sama-sama bekerja makan gaji. Hasil dari pendapatan itu dibelikan sesuatu harta tak alih atau harta alih seperti saham dan sebagainya, sama ada harta itu atas nama bersama atau atas nama suami atau isteri, pokoknya ialah mereka hendaklah sama-sama menyumbangkan tenaga atau modal dalam mengadakan harta tersebut dalam jangkamasa bersuami isteri atau dalam tempoh perkahwinan”.
f)Hak penjagaan anak (Hadhanah)
Wanita yang diceraikan juga berhak untuk mendapatkan hak mengenai penjagaan anak-anak mereka selepas berlakunya perceraian.
Definisi Hadhanah
Hadhanah dari perkataan Arab yang berasal dari perkataan “ Hadhanah” yang bermaksud “rusuk” atau “peluk”. Ini kerana, kelaziman bagi seorang ibu apabila ia sedang mengasuh atau mendukung anaknya maka anak tersebut akan dipangku disebelah rusuknya, jika kalimah itu dinisbahkan kepada seseorang, maka ia memberi erti mendidik atau mengasuh atau mentadbir sesuatu. Para fuqaha bersepakat mengatakan bahawa hak untuk menjaga atau memelihara anak yang belum mumaiyiz apabila terjadi sesuatu perceraian sama ada perceraian hidup atau mati adalah milik ibu. Ia merupakan satu kesepakatan oleh setiap imam mazhab yang empat, bahkan sudah menjadi ijmak terhadap masalah tersebut.
Hikmah diberikan hak hadhanah kepada ibu kerana golongan tersebut mempunyai sifat mendidik dan mengasuh seperti penyabar, belas kasihan, lemah lembut dan sebagainya yang sesuai dengan fitrah wanita.

No comments:
Post a Comment